Gadisku…Rinduku mendesakku menghantar warkah maya ini ke kantung emailmu. Kita bertemu di Quasimodo Club on Kantstrasse malam ini, ya sayang! Aku tidak mahu lagi membiarkan malamku nan indah ini sepi tanpa dirimu. Ah! Pasti asyik masyuk cinta ini dalam alunan Jazz yang mengkhayalkan. Aku sudah menempah Stammtish, khas buat gadisku nan jelita. Jumpa malam ini, sweetheart! Aku cinta padamu…
Aku seakan mahu ketawa kuat-kuat ketika kau menyatakan rasa ketidakpuasan hatimu pada Liga Arab yang bersidang pada 1 Mac sebelum daging Iraq robek dilahap dan dibaham Uncle Sam pada 20 Mac. Katamu sewajarnya Liga Arab yang dianggotai oleh negara-negara Timur Tengah itu dibubarkan sahaja. Perpecahan dalam Liga Arab yang dianggotai 22 negara ini tidak boleh disembunyikan lagi terutamanya bila stesyen televisyen menyiarkan secara langsung “perang mulut” antara pemimpin Libya Muammar Gaddafi dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah. Retak pertubuhan ini sangat parah. Resolusi yang dibacakan oleh Setiausaha Agung liga ini, Arm Moussa tidak langsung menawarkan cadangan untuk menyelesaikan konflik Iraq bahkan ia tidak menyentuh perihal Kuwait, Qatar dan Bahrain yang menjadi tuan rumah kepada ribuan askar Amerika.
Hei…hei…Begitulah umat Islam. Sedari dulu, sejak runtuhnya empayar Turki Uthmaniah di tangan Kamal Attarturk dan ranapnya Palestin dicengkam Yahudi dan Zionis, umatmu masih belum sedar-sedar. Katamu kemerdekaan yang dikecapi oleh bumimu, Malaysia adalah hasil tiupan semangat Ustaz Abu Bakar Al-Baqir (Gunung Semanggol) dan Sheikh Al-Hadi 1906 dengan Al-Imam. Kau mahu slogan Islam sebagai cara hidup awal tahun 70-an di bumimu dulu turut menyemarakkan kesedaran umat Islam di segenap pelusuk dunia hari ini. Malah seakan mahu memuntahkan saja seluruh isi perutku pabila kau seringkali menyuarakan kekecewaanmu di hadapanku tentang tanggungjawab umat Islam mendokong nama deenmu agar kembali ke puncak. Hei…hei…Aku yahudilah! Yahudi! Kau tahu Yahudi? Lalu kau tercengang kala tubuhku sudah usai kau jelajahi.
Kita bertemu di sini. Ya di hadapan Bradenburger Tor ini. Bangunan kebanggaan Adolf Hitler yang merupakan simbol kekuatan Nazi. Kau anak Melayu yang belajar Sains Politik di bumi Jerman ini dan aku pengembara jalanan yang menjejak ketamadunan dan keruntuhan sesebuah bangsa. Aku dari bumi Baitullahem, bertaruh nyawa di Baghdad dan Afghanistan, berkelana ke Istanbul, menikmati keindahan kota Alhambra, malah tanah airmu Malaysia jua pernah aku jejaki. Aku mencari hikmah dan merenungi pengajaran di sebalik sejarah suatu ketamadunan bangsa yang berjaya ditegakkan dan diruntuhkan. Negarawan Jerman, Bismark pernah berkata : “ Hanya orang bodoh yang berkata mereka belajar daripada pengalaman sendiri. Bagi saya, belajar daripada pengalaman orang lain adalah lebih berfaedah.”
Kau menyumpah-nyumpah Kuwait yang membenarkan Amerika menggunakan Pangkalan Udara Ali Salem dan Ahmed Al-Jaber bagi menempatkan fighter bombers, stealth bombers, tank busters dan helikopter Apache dan Blackhawk. Kau memaki hamun Qatar dan ibu negaranya Doha , tempat pangkalan Al-Jazeera yang juga mempunyai pangkalan tentera Amerika Syarikat. Kau meminta Tuhanmu melaknat Bahrain yang membenarkan laluannya ditempatkan armada AS, 5th Fleet Amerika dan kau menyumpah seranah Jordan yang membenarkan Special Operation Forces melancarkan operasi ke Iraq, juga menempatkan peluru berpandu Patriot manakala Mesir membenarkan kapal perang melalui Terusan Suez dan penggunaan ruang udara. Katamu inilah malangnya sifat pemerintah-pemerintah yang mengaku Islam melaksanakan tanggungjawab. Umat Islam berpecah belah dan negara-negara umat Islam menjaga kepentingan masing-masing. Aku ketawa. Ketawa kuat! Kau manusia bertopeng syaitan. Melaknat manusia lain sedangkan diri kau mabuk dengan syahwat memuncak. Hei…hei…Aku Yahudilah! Yahudi!
Sayang…Malam ini di apartmentmu ya!. Aku cinta padamu!
Aku ke Baghdad selepas rejim Saddam tersungkur di kaki takdir Bush. Aku mahu bangsaku belajar daripada sejarah kejatuhan Iraq . Kau terpinga. Katamu aku gadis bersemangat kental, berani dan cekal. Berapa kali mahu kubilang padamu? Aku Yahudilah. Yahudi! Bangsa yang tidak pernah kenal erti kekalahan dan kesusahan. Bukan seperti kau dan saudara-saudaramu. Layu! Mandom! Malas! Malah lemah dengan pujukan nafsu! Ha..ha..ha..
Iraq pernah “dibebaskan” daripada Uthmaniah (Turki) oleh British pada 1917. Wartawan akhbar The Gurdian yang bersama-sama Lt.Jen.Sir Satnley Maude ketika itu melaporkan bagaimana tentera British disambut meriah. Enam bulan kemudian penduduk tempatan mula resah dan menentang penjajah. Sejarah Iraq kembali berulang. Begitulah yang terjadi di Iraq hari ini. Nah! Masih tidak mahu mengingati sejarah lagikah, kawan! Sehingga tamat kebangkitan itu, pada tahun 1921, sejumlah 450 tentera British terkorban bersama-sama 10 500 rakyat tempatan. Saddam menjadi presiden pada tahun 1979. Saddam menggunakan kekerasan yang memastikan keamanan dan kestabilan. Semasa persiapan perang Iraq pada 20 Mac yang lalu, ramai orang di sekeliling Saddam menjual kedaulatan Iraq . Jeneral Tommy Franks dalam satu temubual dengan majalah Defense News membayangkan bahawa ada kalangan jeneral Iraq yang menerima rasuah. Malah, setelah patung Saddam di Dataran Fardus ditumbangkan pada 9 April, rakyat Iraq yang kebanyakan dari Puak kurdish dan mereka yang bukan daripada kalangan puak sunni yang ditindas oleh Saddam selama 24 tahun meraikan kemenangan tentera Amerika. Malang bagi Iraq . Orang-orang Syiah yang dizalimi oleh Saddam tidak mengambil bahagian mempertahankan pemerintahan Saddam maka inilah kesilapan besar Saddam. Sekarang Baghdad sekali lagi dijajah menerusi Coalition of the Willing, yakni Amerika , Britain dan beberapa kerat tentera Australia .
Lalu aku mengutip hikmah dari peristiwa kejatuhan Iraq ini untuk kubawa pulang ke Baitullahem. Agar bangsaku tidak berpecah belah seperti etnik Iraq . Kami punya visi dan misi memiliki bumi Quds. Hanya dengan perpaduan dan kesatuan sahaja yang mampu merealisasikan cita-cita kami ini. Sejarah peperangan masa lalu membuktikan bahawa jika rakyat bersatu padu, rakyat akan mampu bangun untuk menumpaskan kekuasaan tentera yang tercanggih. Perang Vietnam adalah petunjuknya. Dalam Perang Vietnam , gerila Vietcong dan rakyat bersama bersatu menentang AS dan rejim Vietnam Selatan yang dipertahankan oleh AS. Malah kuasa kecil dunia mampu menewaskan kuasa besar dunia : Perancis tewas di Algeria dan Vietnam , China tewas di Vietnam dan Rusia di Afghanistan.
+ Ha…ha…ha….
- Dia sering berbicara tentang perpecahan dan penyatuan sedangkan dirinya sendiri terpecah-pecah.
+ Maksudmu?
- Agamanya…Imannya…Pegangannya…Hancur dalam amukan hawa nafsu syaitannya. Sungguh memalukan dan mengaibkan!
+ Teruskan eksperimenmu!
“Learning of the wise, Justice of the noble, Prayer of the pious, And Valor of the brave.” Betapa gemilang tamadun Islam di Andalus sebelum mengalami kejatuhan pada 1492 Masihi.. Bukankah pernah kunyatakan padamu, aku sudah menjejaki setiap inci tanah Alhambra . Di bawah kepimpinan Tariq bin Ziyad, kerajaan Visogoth berjaya dikalahkan pada 711, lalu Toledo dan Seville yang berada di bawah kepimpinan kerajaan Islam menjadi terkenal kerana kebudayaan baru dan universiti-universitinya. Andalus menyaksikan kehadiran penuntut-penuntut ilmu dari segenap pelusuk dunia hatta Pope Rom jua pernah belajar di sana . Edward G. Brown dalam bukunya Islamic Medicine menyifatkan Andalus sebagai The Brilliant Civilization. Nama-nama ilmuwan terulung seperti Abul Qasim Az-Zahrawi (Abul Casis) dan Ibnul Wafid (Aben Guefit) membuktikan Andalus subur dengan ilmu.
Wajahmu merona merah kala aku menceritakan padamu bahawa perpecahan umat Islam membenarkan Kardinal Debidar mengangkat Salib di atas bumbung Istana Raja Al-Nasir sebagai menandakan berakhirnya pemerintahan Islam di Sepanyol. Orang Kristian yang menakluknya memulakan kerja-kerja penghapusan etnik terhadap penduduk yang beragama Islam serta meruntuhkan tamadun kebudayaannya. Orang Islam telah dilarang mengamalkan ajaran Islam, mereka dipaksa meninggalkan Islam sebagaimana mereka dilarang menggunakan Bahasa Arab, pemakaian nama Arab dan pakaian kebangsaan Arab. Maka sesiapa yang menyanggahi arahan akan dibakar hidup-hidup selepas diseksa sekejam-kejamnya. Jiwamu seakan dihunggis amarah yang meluap-luap. Kau menyatakan di hadapanku bahawa umat Islam tidak sudah-sudah dizalimi malah kau menuduh bangsaku lebih khianat dan kejam kepada peribumi Palestin.
Aku bangun. Kau menghina bangsaku! Hei…hei…Kau dan saudara-saudaramu itu yang bodoh dan tolol. Andalus pernah menjadi pusat ilmuan namun umat Islam tidak pernah tahu menghargai sejarah keagungan Andalus bahkan keagungan tamadun Umaiyyah, Abbasiyah dan Uthmaniah tidak pernah dijadikan contoh teladan oleh umat Islam. Sejarah keagungan ketamadunan Islam di masa lampau hanya tinggal monumen-monumen dan artifak-artifak yang tidak pernah dicungkil oleh kau dan saudara-saudaramu. Bahkan kami golongan bukan Islam yang bijak mencari peluang, belajar daripada kebangkitan dan kejatuhan tamadun-tamadun Islam.
Hei…hei…Kami bangsa Yahudi mahu belajar daripada sejarah kehebatan tentera Mongol menakluk dunia. Tiada siapa pun yang menjangkakan kaum pengembala nomad yang buta huruf akan mencoret sejarah paling hitam di persada sejarah dunia. Orang yang mendiami Padang Rumput Steepe, Karakorum dan Utara China ini hanya berjumlah lebih kurang 700 000 orang. Walaupun jumlah mereka kecil tetapi mereka adalah bala tentera yang terhandal dan terkejam di dunia. Bala tentera mereka begitu ramai dan boleh bergerak pantas sehingga sejauh 100 batu sehari. Mereka boleh hidup tanpa membawa makanan selama 10 hari. Mereka boleh hidup dalam cuaca yang paling sejuk dan merentasi padang pasir yang panas. Mereka datang secara mengejut dan membunuh lebih daripada 15 juta orang Islam. Mereka menumbangkan dan meruntuhkan kerajaan-kerajaan terkuat pada zamannya.
Umat Islam hanya membiarkan sahaja kisah-kisah penting seperti ini usang, berhabuk dan mati dalam helaian buku-buku sejarah. Namun kami, bangsa Yahudi tidak akan membelakangkan sejarah kerana sejarah adalah cermin yang memantulkan pengajaran supaya kita boleh mengambil iktibar atas kesilapan bangsa-bangsa terdahulu.
Hubungan cinta kita retak kerana perbalahan itu. Peduli apa aku! Kau yang tergila-gilakan mata jeliku, bibirku yang munggil dan tubuhku nan lansing . Aku hanya seorang pengembara yang hanya singgah sebentar sahaja di Berlin ini bagi melaksanakan eksperimenku. Peduli apa aku andai kisah cinta palsu ini runtuh sepeti runtuhnya Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur? Aku sekadar hadir di sini untuk mengutip cebisan-cebisan sejarah yang ditinggalkan Hitler untuk aku pelajari supaya bangsaku tidak menjadi seperti umatmu yang asyik ditindas dan diperlakukan seperti tiada erti.
Jerman telah melalui beberapa revolusi yang pastinya mematangkan rakyatnya kini. Mereka pernah ditakluki oleh Napoleon Bonaparte yang pada mulanya disambut sebagai tentera pembebas. Dia telah menghapuskan sistem cukai feudal, memperkenalkan birokrasi moden serta sistem penyatuan pentadbiran dan pemusatan kuasa yang akhirnya menimbulkan bibit-bibit nasionalisme di kalangan rakyat Jerman. Namun malangnya, para nasionalisme di Jerman turut gagal menyelesaikan persoalan penyatuan Jerman yang merangkumi empayar Austria yang mempunyai banyak rakyat bukan bangsa Jerman.
Pada tahun 1871, Otto Von Bismark telah berjaya menyatupadukan Jerman melalui dasar Realpolitik atau Machiavellian, suatu prinsip ‘matlamat membenarkan cara’. Untuk mencapai sesuatu, mereka rela bertindak melalui sebarang cara sekalipun! Maka di sinilah yang mahu bangsaku pelajari.
Adolf Hitler membentuk kerajaan baru pada tahun 1933. Sebaik sahaja berkuasa, beliau mendirikan pemerintahan kuku besi. Oleh kerana langkah yang diambil oleh Hitler untuk mengatasi masalah pengangguran dan memulihkan ekonomi berjaya, beliau mendapat sokongan kebanyakan rakyat Jerman. Beliau menghapuskan syarat-syarat Persetiaan Versailles yang dibenci rakyat Jerman. Pada tahun 1938, beliau mencantumkan Austria dengan Jerman. Beliau juga membuat tuntutan terhadap kawasan yang diduduki bangsa Jerman di Czechoslovakia. Pada awal September 1939, tentera Jerman menyerang Poland
Menjelang pertengahan tahun 1941, Jerman menguasai hampir semua tanah besar Eropah kecuali Rusia. Tetapi pada Jun 1941, Hitler menyerang Rusia dan menghampiri bandar Moscow dan Leningrad. Apabila kuasa-kuasa Paksi mengalami kekalahan di Asia dan benua Eropah, kumpulan tentera Jerman di Stalingrad menyerah diri di Rusia dan terpaksa berundur dari Rusia. Dan selepas tahun 1943, tentera Jerman buat pertama kalinya berjuang di atas bumi sendiri untuk mempertahankan negara mereka daripada serangan Rusia dari sebelah timur dan Amerika serta British dari sebelah barat. Peperangan tamat apabila tentera Rusia memasuki Berlin.
Adolf Hiler sememangnya hebat pada awal pemerintahannya namun gagal jua untuk mempertahankan Jerman daripada dimasuki tentera Rusia. Justeru aku mahu bangsaku belajar daripada sejarah ini. Kami bangsa Yahudi tidak akan sekali-kali lupa kepada pemerintahan kejam Kaisar Rusia yang menghapuskan bangsa Yahudi di Rusia yang berslogankan ‘anti-semitisme’. Akibatnya kami dihalau dan bertebaran ke Eropah Barat, Amerika Utara dan Selatan. Kitab Old Testament mengatakan kami adalah penduduk asal Palestin yang telah diusir. Suatu hari nanti kami akan berkumpul kembali di Palestin kerana Al-Maseh yang dinanti-nanti akan membawa kemenangan dan juga lembaran baru dalam hidup kami yang bakal mengecapi kebahagiaan selama 1000 tahun. Kami mengimpikan Negara Israel yang lebih besar meliputi wilayah yang bersempadan dengan Sungai Mesir dan Sungai Furat di Iraq.
Kami berpegang kuat pada seruan Adolph Oremieux, Presiden Perikatan Yahudi Sedunia, yang telah menulis dalam Arkib Bani Israel keluaran 21 November 1861 bahawa “Semua bangsa mestilah dihapuskan, semua agama mestilah ditahan dan disekat. Bagaimanapun Israel wajib kekal dan jangan pupus kerana Bani Israel adalah suatu bangsa yang telah dipilih oleh Tuhan untuk menguasai dunia.”
Sayang...Aku tidak berdaya lagi menahan rindu. Maafkan aku kerana menghina bangsamu. Kau bukan Yahudi totok kan!? Aku sudah menempah dua tiket untuk menyaksikan teater muzikal di Hamburg Opera kemudian langsung kita ke apartmentku, ya sayang! Aku cinta padamu!
Saat kau galak bercengkerama dengan tubuhku, aku mengingatkanmu akan kehebatan bangsaku. Amerika di bawah telunjuk Yahudi! Kata Ariel Sharon “Saya ingin memberitahu anda sesuatu dengan jelas. Jangan bimbang mengenai tekanan Amerika ke atas Yahudi kerana kita, orang Yahudi menguasai Amerika dan orang Amerika tahu akan hakikat ini.” Bangsaku sentiasa menang. Sejak Perjanjian Skyes-Picot 1917, Britain memberikan jaminan kepada Pergerakan Zionis melalui Surat James Balfour, Menteri Luar Britain, kepada Lord Rothschild, penyokong kuat Zionis bagi mendapatkan sokongan masyarakat Yahudi untuk membantu Britain dalam Perang Dunia Pertama. Media di Amerika juga menyebelahi kami. Bekas Pengarang New York Times, A.M Rosenthal, tidak jemu-jemu menulis mempertahankan Israel. Beliau diberi anugerah tertinggi kerajaan Israel- Key To Juresalem. Wall Street Journal juga jarang-jarang mengkritik Israel. Pelobi Yahudi di Amerika, di Capitol Hill, dapat menghalang penjualan senjata kepada negara Arab, menghukum senator atau ahli kongres yang menyokong Arab dan sudahpun mendapatkan sokongan senator dan ahli kongres untuk membantah Road Map.
Amerika begitu mencintai Israel sehinggakan musuh Israel turut menjadi seteru Amerika. Kami hanyalah sebuah negara kecil yang mempunyai penduduk hanya empat juta berjaya hidup dan mengecapi kejayaan di tengah-tengah bahang 280 juta Arab. Hei....hei...Kami Yahudilah! Yahudi! Kami bangsa yang cekal hati. Bahasa Hebrew yang terkubur 2000 tahun telah dihidupkan semula sebagai bahasa kebangsaan kami. Kami orang Yahudi banggakan Israel. Kami melindungi Israel. Strategi utama kami adalah memperbanyakan petempatan kami di Tebing Barat yang didiami 2.2 juta rakyat Palestin. Petempatan kami mula dibina sejak 36 tahun dulu. Kini terdapat 376 ribu bangsa kami di Palestin dan kami bercita-cita menjadikan Palestin tanah hak mutlak kami.
Hei...hei...Bukalah matamu wahai kawan! Pemimpin kami yang kami kasihi itu pernah memberitahu media pada Mac 2002 bahawa “Orang Palestin perlu dibelasah sekuatnya, dan ia mesti perit. Kita harus menyebabkan mereka kehilangan. Barulah mereka sedar bahawa bayaran balik ini tinggi.” Rakyat Palestin adalah pengganas sebaliknya kami berjuang mendapatkan hak milik kami. Operation Defensive Wall yang menggunakan jet pejuang, kereta kebal dan helikopter Apache itu hanyalah sebagai mempertahankan hak dan keselamatan kami sahaja. Hei...hei...Kami Yahudilah! Yahudi! Amerika jua turut menghantar 1000 tentera ke Israel untuk belajar selok-belok Urban Warfare dan melakukan latihan bersama. Malah, Amerika mempelajari kaedah menggunakan buldozer daripada kami untuk meleburkan tentangan jalan raya. Amerika begitu berminat taktik kami yang mengebom rumah supaya lubang besar dibentuk di dinding-dinding. Ini membolehkan tentera bergerak dari rumah ke rumah. Strategis Pentagon turut melihat rakaman vidoe serangan kami ke atas Jenin.
Kau mahu tahu... Ramai daripada kalangan neo-con Yahudi yang hidup matinya untuk Israel. Tokoh utama neo-con seperti Paul Wolfowitz yang merupakan orang No.2 di Pentagon dan Richard Perle yang digelar Prince of Darkness tidak jemu-jemu mendesak Amerika menjatuhkan Saddam. Kejatuhan Iraq ini merupakan keuntungan besar buat kami. Tiada lagi kuasa besar yang dikhuatiri dapat menandingi kekuatan kami di rantau Timur Tengah. Ha..ha..ha...Sekarang, hanya kami sahaja yang mempunyai senjata pemusnah terkuat dan kami tidak perlu bimbang kerana Amerika dan seluruh dunia sememangnya di bawah telunjuk kami. Malahan menurut Pengarah Ekskutif Jewish Institute, Thomas Noumann, pentadbiran Bush adalah yang terbaik bagi Israel sejak Harry Truman. Trumanlah yang mula mengiktiraf Israel. Bush secara terbuka menyokong pendirian Sharon untuk mengenepikan Arafat sebagai satu syarat diplomasi.
Ke mana dirimu menghilang? Aku mengintai-mengintai dirimu di Maybachufer tempoh hari. Kau kan selalu menghabiskan masa memerhati barangan antik dan kraftangan di satu-satunya Pasar Turki di tanah Jerman ini. Namun aku gagal menemuimu di sana. Sudah lama tidak bertemumu, sayang. Aku rindukan elus belaianmu. Jumpa aku di Kreuzberg. Aku rindukanmu!
Sayang...Aku tidak boleh menemuimu lagi. Aku kini di Baitullahem, mahu memastikan Al-Quds menjadi milik Yahudi semula. Aku pernah beritahu kau dahulukan? Aku hanya pengembara yang menjalankan eksperimen historikal di sini. Jerman hanya persinggahan sementara buatku begitu jua dengan dirimu. Aku mengutip cebisan-cebisan sejarah daripada setiap tamadun bangsa yang aku singgahi lalu mencantumkannya kembali supaya bangsaku dapat belajar daripada sejarah itu. Aku Yahudilah! Yahudi! Lupakan diriku, ya sayang!
- Dia sudah mati.
+ Siapa?
- Jantan tolol tu!
+ Huh! Bagaimana boleh mati?
- Bunuh diri.
+ Semudah itu!?
- Kecewa cinta
+ Ha..ha...ha..
- Eksperimenku berjaya!
Kalian terpinga? Sebenarnya begini, kawan! Pengembaraanku ke segenap pelusuk bumi bukanlah hanya sekadar pengembara historikal tetapi sebaliknya aku dan 4 ejen lain ditugaskan untuk menjalankan Eksperimen 5-S : Smoke, School, Sport, Scrin, Song, Sex. Hei...hei...Aku gadis Ejen CIA Mossad Israel. 5 ejen ditugaskan untuk melaksanakan Eksperimen 5-S ini. Kalian tahukan, aku ditugaskan untuk eksperimen apa? Anak Melayu itu hanya bahan eksperimenku. Hei kawan... Bukankah aku selalu berkata pada kalian, bangsaku bangsa yang belajar daripada sejarah. Kalian tentu tahukan, lelaki mudah tersungkur dalam pelukan perempuan. Lihat saja kejatuhan Clinton, kerana Monica. Albuquerque mati kerana Tsukinah. Sultan Mahmud Syah sanggup memenuhi tuntutan Puteri Gunung Ledang yang berat dan tidak masuk di akal. Firaun membesarkan Musa di dalam istananya sendiri kerana pujukan Asiah.
- Setelah meneliti laporan daripada kelima-lima ejen, kami meluluskan Eksperimen 5-S
+ Bila mahu melancarkan misi, tuan?
- Secepat mungkin.
+
Ranapkan umat Islam dengan Eksperimen 5-S : Smoke, School, Sport, Screen, Song, Sex.- Ha...ha...ha...!!! Jadikan mereka hamba kepada hawa nafsu!
Nukilan :
Ghafirah bt. Idris
UIA, Pj
25 Oktober 2003
Mingguan Malaysia 30 Nov 2003